Tunjang
ini terdiri daripada Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa
Tamil. Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris adalah wajib dipelajari oleh semua
murid prasekolah. Bahasa Cina dan Bahasa Tamil dipelajari oleh murid di
prasekolah yang beraliran bahasa Cina dan bahasa Tamil. Fokus utama Tunjang
Komunikasi adalah Kemahiran Bahasa dan Seni Bahasa. Kemahiran Bahasa merangkumi
kemahiran mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran
menulis. Bahan yang digunakan perlu sesuai dengan peringkat perkembangan
kanak-kanak. Seni bahasa merujuk kepada keupayaan murid mengungkap keindahan
bahasa melalui kepelbagaian aktiviti dan permainan bahasa seperti drama dan
sajak.
2 ) TUNJANG KEROHANIAN, SIKAP DAN
NILAI
Tunjang
Kerohanian, sikap dan nilai merangkumi pendidikan Islam dan pendidikan Moral.
Pendidikan Islam dipelajari oleh murid beragama Islam selama dua jam seminggu.
Pendidikan Moral dipelajari oleh murid lain selama dua jam seminggu.
PENDIDIKAN
ISLAM
Pendidikan
Islam memberi pengetahuan dan kemahiran asas tentang rukun Iman, Rukun Islam,
Sirah Rasulullah dan Kalimah Syahadah. Murid prasekolah belajar bersuci,
berwujuk, melakukan pergerakan solat, mencontohi beberapa akhlak Rasulullah dan
melakukan amalan harian mengukut adab. Pada masa yang sama murid ini juga
mengenal asas bahasa Al Quran, huruf hijjaiyah dan Jawi serta menghafaz
beberapa surah pendek dan doa pilihan. Pengajaran dan pembelajaran pendidikan
Islam dijalankan melalui aktiviti seperti bercerita, simulasi, menyanyi, bernasyid,
aktiviti hands-on, meneroka alam dan bermain.
PENDIDIKAN
MORAL
Pendidikan
Moral prasekolah memberi fokus kepada pelakuan moral yang dipupuk secara
berterusan sepanjang masa murid berada di prasekolah. Pendidikan moral tidak
dijalankan melalui aktiviti yang spesifik tetapi diterapkan melalui kesemua
aktiviti yang dijalankan dalam prasekolah. Nilai-nilai murni Kurikulum Standard
Prasekolah Kebangsaan adalah seperti berikut : kepercayaan kepada Tuhan, baik
hati, bertanggungjawab, berterima kasih, hemah tinggi, hormat menghormati,
kasih sayang, keadilan, keberanian,kejujuran, kerajinan, kerjasama,
kesederhanaan, tolenrasi, berdikari dan berdisiplin.
3 ) TUNJANG KETRAMPILAN DIRI -
Perkembangan Sosioemosi
Pendidikan
prasekolah memberi penekanan kepada perkembangan sosioemosi kanak-kanak.
Kanak-kanak akan menghadapi masalah di prasekolah dan juga di sekolah rendah
kelak jika sosioemosi mereka kurang stabil dan mantap. Perkembangan sosioemosi
merangkumi aspek mengenali dan mengurus emosi sendiri, pencapaian emosi yang
positif, pembinaan konsep kendiri positif serta pembinaan kemahiran
berinteraksi dan kemahiran sosial. Perkembangan sosioemosi berlaku sepanjang
masa kanak-kanak berada di prasekolah, ia tidak dicapai melalui aktiviti
spesifik tetapi menerusi kesemua aktiviti sama ada aktiviti rutin, semasa
rehat, semasa makan dan juga aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lain.
4 ) TUNJANG PERKEMBANGAN FIZIKAL
DAN ESTETIKA
Tunjang
Perkembangan Fizikal dan Estetika merangkumi Perkembangan Fizikal dan Penjagaan
Kesihatan serta Perkembangan Kreativiti
PERKEMBANGAN
FIZIKAL DAN PENJAGAAN KESIHATAN
Kanak-kanak
pada peringkat prasekolah memerlukan aktiviti yang menguatkan kawalan otot
mereka. Aspek perkembangan fizikal adalah amat penting di prasekolah kerana
tanpa perkembangan fizikal yang mantap kanak-kanak akan menghadapi masalah
dalam melakukan aktiviti seperti memegang pensel atau berus untuk menulis dan
melukis, penglibatan dalam aktiviti sukan, aktiviti yang memainkan peralatan
muzik serta pengendalian peralatan. Pendidikan prasekolah menyediakan peluang
pembelajaran untuk meningkatkan kemahiran motor halus, kemahiran motor kasar
serta koordinasi mata-tangan di kalangan kanak-kanak ini. Perkara yang
dirangkum termasuk teknik yang betul untuk melompat, menyambut objek, membaling
obejk serta postur yang betul semasa duduk.
Tunjang
ini memberi penekanan kepada pembinaan amalan penjagaan kesihatan fizikal diri,
kebersihan persekitaran dan pemakanan yang berkhasiat. Tabiat yang dibina akan
memanfaatkan kanak-kanak ini sepanjang usia mereka. Secara lazimnya,
kanak-kanak yang mempunyai badan yang sihat dapat memberi tumpuan yang lebih
baik kepada pembelajaran dan mempunyai konsep kendiri yang positif. Tunjang ini
juga menekankan aspek keselamatan diri daripada sumber yang mungkin menyebabkan
kemalangan dan bahaya kepada diri mereka termasuk langkah menjaga kehormatan
diri.
PERKEMBANGAN
KREATIVITI
Perkembangan
kreativiti merangkumi seni visual, pendidikan muzik serta drama dan gerakan
kreatif. Tunjang ini lebih menekankan proses daripada produk. Kanak-kanak
diberi peluang untuk menzahirkan idea mereka secara kreatif dan melibatkan
diridalam aktiviti kreativiti.
Fokus
seni visual adalah pada aplikasi seni, ekspresi kreatif dan apresiasi. Aplikasi
seni merujuk kepada proses mengenal dan memilih bahan yang diperlukan untuk
menghasilkan sesuatu karya. Ekspresi kreatif adalah proses penghasilan karya.
Apresiasi seni melibatkan proses menceritakan hasil kerja sendiri dan juga
menunjukkan penghargaan terhadap keindahan persekitaran serta hasil kerja orang
lain.
Pendidikan
muzik merangkumi aktiviti menyanyi, pengalaman awal untuk memainkan perkusi,
penghasilan muzik menerusi bahan atau objek improvisasi, dan apresiasi muzik.
Drama
dan Gerakan Kreatif merangkumi aktiviti drama dan gerakan kreatif dimana murid
diberi peluang untuk main peranan, berlakon, menari dan membuat gerakan secara
kreatif.
Aktiviti
tunjang ini bukan sahaja digunakan untuk meningkatkan daya kreativiti tetapi
juga digunakan untuk mencapai objektif pembelajaran tunjang lain. Aktiviti
menyanyi dan pergerakan kreatif sentiasa digunakan semasa pembelajaran bahasa,
matematik dan lain-lain.
5 ) TUNJANG SAINS DAN TEKNOLOGI
Tunjang
Sains dan Teknologi merangkumi awal sains, awal matematik, aktiviti pembinaan
menggunakan objek seperti blok dan penggunaan ICT.
AWAL
SAINS
Awal
Sains menyediakan peluang kepada kanak-kanak untuk meneroka alam sekitar mereka
menggunakan organ deria dan peralatan mudah. Dalam proses penerokaan ini, sikap
saintifik yang positif seperti sifat ingin tahu, sistematik dan teliti akan
terbentuk. Semasa proses penerokaan ini, kemahiran asas proses sains seperti
kemahiran memerhati, mengukur menggunakan unit bukan piawai, membanding dan
mengelas juga akan dikembangkan. Penerokaan akan dijalakan ke atas alam hidupan
(contoh : tumbuhan, haiwan ), alam bahan (contoh : objek yang tenggelam dan
timbul, air, magnet ) dan alam fizikal ( contoh : pelangi, cuaca ). Tunjang ini
lebih mementingkan penguasaan kemahiran
daripada pemerolehan pengetahuan. Guru perlu bersikap terbuka terhadap
pandangan dan dapatan daripada hasil penerokaan murid. Awal Sains menyediakan
peluang kepada kanak-kanak empat hingga enam tahun untuk membuat pembinaan
menggunakan objek seperti blok. Aktiviti pembinaan ini bukan sahaja memberi
peluang kepada kanak-kanak untuk mempelajari konsep penghubung, lingkungan
serta awal matematik tetapi untuk meningkatkan daya kreativiti murid dan
kemahiran motor halus.
AWAL
MATEMATIK
Awal
matematik membekalkan pengalaman awal matematik kepada murid prasekolah.
Pengalaman ini termasuk konsep pranombor, nombor, operasi nombor yang mudah,
nilai wang, konsep waktu, bentuk dan ruang. Konsep matematik ini dipelajari
pada masa yang khas dan juga disepadukan ke dalam semua aktiviti pembelajaran
bertema menggunakan kaedah yang menyeronokkan.
Tunjang
Sains dan Teknologi juga menyediakn peluang kepada murid prasekolah menggunakan
komputer untuk melakukan tugasan tertentu. Penggunaan komputer adalah di tahap
kemahiran asas sahaja.
6 ) TUNJANG KEMANUSIAAN
Tunjang
Kemanusiaan memberi peluang kepada kanak-kanak supaya lebih memahami diri
sendiri, lebih memahami perhubungan antara diri dengan keluarga, rakan,
komuniti dan alam sekitar. Kanak-kanak juga akan lebih memahami tanggungjawab
diri dalam perhubungan-perhubungan ini. Tunjang ini juga memberi penekakan
kepada pemahaman budaya dan tradisi pelbagai kaum di Malaysia serta
menggalakkan penglibatan dalam perayaan pelbagai kaum ini. Tunjang Kemanusiaan
menggariskan skop dan konteks pembelajaran di prasekolah. Kandungan dalam
tunjang ini boleh digunakan untuk membina tema-tema pembelajaran.
MODUL ASAS DAN MODUL BERTEMA
Pendidikan
prasekolah dilaksanakn melalui modul asas dan modul bertema.
MODUL
ASAS
Modul
Asas merangkumi Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina (untuk prasekolah
yang aliran bahasa Cina), Bahasa Tamil (untuk prasekolah yang aliran bahasa
Tamil), Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Matematik dan Permainan Luar.
Secara
umumnya modul asas bertujuan untuk penguasaan literasi awal 4M
(membaca,menulis, mengira, menaakul). Modul teras juga merangkumi Pendidikan
Islam yang perlu diajar oleh guru agama yang bertauliah. Pendidikan Moral
diajar semasa murid beragama Islam belajar Pendidikan Islam, maka ia perlu
dikelaskan sebagai modul teras asas. Kanak-kanak pada umur ini perlu diberi
waktu khas untuk aktiviti fizikal di luar, maka Aktiviti Luar juga dianggap
sebagai modul teras asas.
Modul
asas diberi masa yang khas dalam jadual waktu prasekolah. Pada awal tahun modul
asas mengambil masa lebih kurang 35% daripada waktu prasekolah, tetapi pada
akhir tahun, peratus masa ini mungkin berkurangan jika murid didapati sudah
menguasai kemahiran asas 4 M.
MODUL
BERTEMA
Pengajaran
dan pembelajaran prasekolah sesuai dilaksanakan melalui tema yang membawa makna
kepada kanak-kanak. Modul Bertema menyepadukan kesemua tunjang dalam Kurikulum
Prasekolah Kebangsaan termasuk juga bahasa, pendidikan moral dan matematik.
Pada awal tahun, modul teras tema mengambil masa lebih kurang 35% masa
prasekolah tetapi pada akhir tahun, peratus masa perlu dinaikkan.
Guru
boleh menentukan tema pembelajaran mengikut keperluan murid, keperluan setempat
dan keperluan semasa. Walaubagaimanapun, adalah dicadangkan tema-tema ini
dibina berdasarkan kategori berikut : Diri saya, Negara saya, Alam Hidupan,
Alam Bahan, Alam Fizikal. Contoh tema yang boleh dibina untuk Diri saya adalah
Sekolah saya, Kawan saya, Kelaurga saya. Contoh tema yang boleh dibina untuk
Negara saya adalah Perayaan Hari Raya, Kemerdekaan Negara, Lagu dan Muzik
Tradisional. Contoh tema yang boleh dibina untuk Alam Hidupan adalah haiwan dan
Tumbuhan. Contoh tema yang boleh dibina untuk Alam Bahan adalah Air dan
Pakaian. Contoh tema yang boleh dibina untuk Alam Fizikal adalah Cuaca.
AKTIVITI RUTIN
Aktivit
rutin adalah penting dalam pendidikan prasekolah. Aktiviti rutin merangkumi aktiviti
seperti pengurusan diri, perbualan pagi, refleksi sebelum balik, membaca doa
dan makan semasa rehat. Aktiviti rutin mengambil masa lebih kurang 30% daripada
masa prasekolah. Kandungan dalam aktiviti rutin merangkumi kesemua tunjang
dalam Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan.
SYABAS!!!
ReplyDeletekini baru saya tahu peranan utama pra sekolah ini disekolah2. langkah awal yg bijak sebelum ke darjah 1.
Tahniah dari saya.
thumbs up!!
terima kasih di atas sokongan yang diberikan oleh saudara. Memang menjadi tanggungjawab sebagai seorang guru untuk mendidik murid-murid khususnya guru prasekolah yang berperanan penting untuk menberikan pengetahuan dan kemahiran asas kepada murid-murid sebagai persediaan sebelum melangkah ke Tahun Satu.
DeleteYa..saya sokong pendapat ckgu asmah. Kita sebagai guru prasekolah memainkan peranan yang pntng bagi memberikan pengetahuan dan kemahiran asas kepada murid. Selain itu, kita juga memainkan peranan dalam membentuk sahsiah dan tingkah laku yang baik kepada mereka.
ReplyDeletesaya pun setuju dengan ulasan yang diberikan oleh saudari norhazliza. sama2 lah kita memainkan peranan profesionalisme kita dalam membentuk, mendidik, membimbing dan dll supaya anak2 murid kita ,menjadi insan yang berguna kelak.
ReplyDelete