Pages

Tuesday 20 November 2012

MATLAMAT PENDIDIKAN PRASEKOLAH



MATLAMAT PENDIDIKAN PRASEKOLAH

 

Pendidikan prasekolah bertujuan memperkembangkan potensi kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun secara menyeluruh dan bersepadu dalam aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial melalui persekitaran pembelajaran yang selamat, menyuburkan serta aktiviti yang menyeronokan, kreatif dan bermakna. Ini adalah untuk meningkatkan kemahiran, menanam keyakinan dan membentuk konsep kendiri yang positif pada diri kanak-kanak agar mereka berjaya dalam persekitaran sedia ada dan bersedia untuk menangani cabaran dan bertanggungjawab di sekolah rendah kelak.

 

OBJEKTIF PENDIDIKAN PRASEKOLAH

 

Kurikulum Standard Pelajaran Kebangsaan menyediakan peluang kepada kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun untuk mencapai objektif dalam aspek jasmani, emosi dan sosial, intelek dan rohani seperti berikut :

Ø membina kecergasan badan
Ø mempunyai tubuh badan yang sihat
Ø mempraktikkan amalan kesihatan y
ang baik
Ø mempraktikkan langkah-langkah menjaga keselamatan diri
Ø menguasai kemahiran motor halus dan asas motor kasar
Ø mempunyai kematangan emosi
Ø mempunyai konsep kendiri yang positif dan jati diri
Ø berani menyuarakan pandangan dan perasaan
Ø berkebolehan berinteraksi dengan orang lain
Ø boleh bekerja secara bersendirian dan juga bekerja secara berkumpulan
Ø menghormati perasaan serta hak orang lain dan seterusnya membentuk perhubungan yang positif dengan orang dewasa serta rakan sebaya
Ø mengamalkan nilai murni
Ø mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian untuk murid beragama Islam
Ø berkomunikasi menggunakan bahasa Malaysia, bahasa Inggeris dan bahasa pengantar dalam konteks kehidupan harian
Ø meneroka persekitaran menggunakan kemahiran proses asas sains
Ø menggunakan kemahiran matematik asas dalam menjalankan tugasan harian dan menyelesaikan masalah
Ø menggunakan kemahiran berfikir kritis, kreatif dan inovatif dalam pembelajaran dan kehidupan seharian
Ø mengembangkan daya kreatif dan estetika
Ø menghargai keindahan alam dan warisan budaya 



 

1) TUNJANG KOMUNIKASI 


Tunjang ini terdiri daripada Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris adalah wajib dipelajari oleh semua murid prasekolah. Bahasa Cina dan Bahasa Tamil dipelajari oleh murid di prasekolah yang beraliran bahasa Cina dan bahasa Tamil. Fokus utama Tunjang Komunikasi adalah Kemahiran Bahasa dan Seni Bahasa. Kemahiran Bahasa merangkumi kemahiran mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Bahan yang digunakan perlu sesuai dengan peringkat perkembangan kanak-kanak. Seni bahasa merujuk kepada keupayaan murid mengungkap keindahan bahasa melalui kepelbagaian aktiviti dan permainan bahasa seperti drama dan sajak.


2 ) TUNJANG KEROHANIAN, SIKAP DAN NILAI


Tunjang Kerohanian, sikap dan nilai merangkumi pendidikan Islam dan pendidikan Moral. Pendidikan Islam dipelajari oleh murid beragama Islam selama dua jam seminggu. Pendidikan Moral dipelajari oleh murid lain selama dua jam seminggu.

PENDIDIKAN ISLAM

Pendidikan Islam memberi pengetahuan dan kemahiran asas tentang rukun Iman, Rukun Islam, Sirah Rasulullah dan Kalimah Syahadah. Murid prasekolah belajar bersuci, berwujuk, melakukan pergerakan solat, mencontohi beberapa akhlak Rasulullah dan melakukan amalan harian mengukut adab. Pada masa yang sama murid ini juga mengenal asas bahasa Al Quran, huruf hijjaiyah dan Jawi serta menghafaz beberapa surah pendek dan doa pilihan. Pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam dijalankan melalui aktiviti seperti bercerita, simulasi, menyanyi, bernasyid, aktiviti hands-on, meneroka alam dan bermain.


PENDIDIKAN MORAL

Pendidikan Moral prasekolah memberi fokus kepada pelakuan moral yang dipupuk secara berterusan sepanjang masa murid berada di prasekolah. Pendidikan moral tidak dijalankan melalui aktiviti yang spesifik tetapi diterapkan melalui kesemua aktiviti yang dijalankan dalam prasekolah. Nilai-nilai murni Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan adalah seperti berikut : kepercayaan kepada Tuhan, baik hati, bertanggungjawab, berterima kasih, hemah tinggi, hormat menghormati, kasih sayang, keadilan, keberanian,kejujuran, kerajinan, kerjasama, kesederhanaan, tolenrasi, berdikari dan berdisiplin.



3 ) TUNJANG KETRAMPILAN DIRI - Perkembangan Sosioemosi
 

Pendidikan prasekolah memberi penekanan kepada perkembangan sosioemosi kanak-kanak. Kanak-kanak akan menghadapi masalah di prasekolah dan juga di sekolah rendah kelak jika sosioemosi mereka kurang stabil dan mantap. Perkembangan sosioemosi merangkumi aspek mengenali dan mengurus emosi sendiri, pencapaian emosi yang positif, pembinaan konsep kendiri positif serta pembinaan kemahiran berinteraksi dan kemahiran sosial. Perkembangan sosioemosi berlaku sepanjang masa kanak-kanak berada di prasekolah, ia tidak dicapai melalui aktiviti spesifik tetapi menerusi kesemua aktiviti sama ada aktiviti rutin, semasa rehat, semasa makan dan juga aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lain.


4 ) TUNJANG PERKEMBANGAN FIZIKAL DAN ESTETIKA


Tunjang Perkembangan Fizikal dan Estetika merangkumi Perkembangan Fizikal dan Penjagaan Kesihatan serta Perkembangan Kreativiti


PERKEMBANGAN FIZIKAL DAN PENJAGAAN KESIHATAN

Kanak-kanak pada peringkat prasekolah memerlukan aktiviti yang menguatkan kawalan otot mereka. Aspek perkembangan fizikal adalah amat penting di prasekolah kerana tanpa perkembangan fizikal yang mantap kanak-kanak akan menghadapi masalah dalam melakukan aktiviti seperti memegang pensel atau berus untuk menulis dan melukis, penglibatan dalam aktiviti sukan, aktiviti yang memainkan peralatan muzik serta pengendalian peralatan. Pendidikan prasekolah menyediakan peluang pembelajaran untuk meningkatkan kemahiran motor halus, kemahiran motor kasar serta koordinasi mata-tangan di kalangan kanak-kanak ini. Perkara yang dirangkum termasuk teknik yang betul untuk melompat, menyambut objek, membaling obejk serta postur yang betul semasa duduk.
Tunjang ini memberi penekanan kepada pembinaan amalan penjagaan kesihatan fizikal diri, kebersihan persekitaran dan pemakanan yang berkhasiat. Tabiat yang dibina akan memanfaatkan kanak-kanak ini sepanjang usia mereka. Secara lazimnya, kanak-kanak yang mempunyai badan yang sihat dapat memberi tumpuan yang lebih baik kepada pembelajaran dan mempunyai konsep kendiri yang positif. Tunjang ini juga menekankan aspek keselamatan diri daripada sumber yang mungkin menyebabkan kemalangan dan bahaya kepada diri mereka termasuk langkah menjaga kehormatan diri.


PERKEMBANGAN KREATIVITI

Perkembangan kreativiti merangkumi seni visual, pendidikan muzik serta drama dan gerakan kreatif. Tunjang ini lebih menekankan proses daripada produk. Kanak-kanak diberi peluang untuk menzahirkan idea mereka secara kreatif dan melibatkan diridalam aktiviti kreativiti.
Fokus seni visual adalah pada aplikasi seni, ekspresi kreatif dan apresiasi. Aplikasi seni merujuk kepada proses mengenal dan memilih bahan yang diperlukan untuk menghasilkan sesuatu karya. Ekspresi kreatif adalah proses penghasilan karya. Apresiasi seni melibatkan proses menceritakan hasil kerja sendiri dan juga menunjukkan penghargaan terhadap keindahan persekitaran serta hasil kerja orang lain.
Pendidikan muzik merangkumi aktiviti menyanyi, pengalaman awal untuk memainkan perkusi, penghasilan muzik menerusi bahan atau objek improvisasi, dan apresiasi muzik.
Drama dan Gerakan Kreatif merangkumi aktiviti drama dan gerakan kreatif dimana murid diberi peluang untuk main peranan, berlakon, menari dan membuat gerakan secara kreatif.
Aktiviti tunjang ini bukan sahaja digunakan untuk meningkatkan daya kreativiti tetapi juga digunakan untuk mencapai objektif pembelajaran tunjang lain. Aktiviti menyanyi dan pergerakan kreatif sentiasa digunakan semasa pembelajaran bahasa, matematik dan lain-lain.



5 ) TUNJANG SAINS DAN TEKNOLOGI


Tunjang Sains dan Teknologi merangkumi awal sains, awal matematik, aktiviti pembinaan menggunakan objek seperti blok dan penggunaan ICT.

AWAL SAINS

Awal Sains menyediakan peluang kepada kanak-kanak untuk meneroka alam sekitar mereka menggunakan organ deria dan peralatan mudah. Dalam proses penerokaan ini, sikap saintifik yang positif seperti sifat ingin tahu, sistematik dan teliti akan terbentuk. Semasa proses penerokaan ini, kemahiran asas proses sains seperti kemahiran memerhati, mengukur menggunakan unit bukan piawai, membanding dan mengelas juga akan dikembangkan. Penerokaan akan dijalakan ke atas alam hidupan (contoh : tumbuhan, haiwan ), alam bahan (contoh : objek yang tenggelam dan timbul, air, magnet ) dan alam fizikal ( contoh : pelangi, cuaca ). Tunjang ini lebih mementingkan penguasaan kemahiran  daripada pemerolehan pengetahuan. Guru perlu bersikap terbuka terhadap pandangan dan dapatan daripada hasil penerokaan murid. Awal Sains menyediakan peluang kepada kanak-kanak empat hingga enam tahun untuk membuat pembinaan menggunakan objek seperti blok. Aktiviti pembinaan ini bukan sahaja memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mempelajari konsep penghubung, lingkungan serta awal matematik tetapi untuk meningkatkan daya kreativiti murid dan kemahiran motor halus.

AWAL MATEMATIK

Awal matematik membekalkan pengalaman awal matematik kepada murid prasekolah. Pengalaman ini termasuk konsep pranombor, nombor, operasi nombor yang mudah, nilai wang, konsep waktu, bentuk dan ruang. Konsep matematik ini dipelajari pada masa yang khas dan juga disepadukan ke dalam semua aktiviti pembelajaran bertema menggunakan kaedah yang menyeronokkan.
Tunjang Sains dan Teknologi juga menyediakn peluang kepada murid prasekolah menggunakan komputer untuk melakukan tugasan tertentu. Penggunaan komputer adalah di tahap kemahiran asas sahaja.



6 ) TUNJANG KEMANUSIAAN


Tunjang Kemanusiaan memberi peluang kepada kanak-kanak supaya lebih memahami diri sendiri, lebih memahami perhubungan antara diri dengan keluarga, rakan, komuniti dan alam sekitar. Kanak-kanak juga akan lebih memahami tanggungjawab diri dalam perhubungan-perhubungan ini. Tunjang ini juga memberi penekakan kepada pemahaman budaya dan tradisi pelbagai kaum di Malaysia serta menggalakkan penglibatan dalam perayaan pelbagai kaum ini. Tunjang Kemanusiaan menggariskan skop dan konteks pembelajaran di prasekolah. Kandungan dalam tunjang ini boleh digunakan untuk membina tema-tema pembelajaran.



MODUL ASAS DAN MODUL BERTEMA


Pendidikan prasekolah dilaksanakn melalui modul asas dan modul bertema.

MODUL ASAS

Modul Asas merangkumi Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina (untuk prasekolah yang aliran bahasa Cina), Bahasa Tamil (untuk prasekolah yang aliran bahasa Tamil), Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Matematik dan Permainan Luar.
Secara umumnya modul asas bertujuan untuk penguasaan literasi awal 4M (membaca,menulis, mengira, menaakul). Modul teras juga merangkumi Pendidikan Islam yang perlu diajar oleh guru agama yang bertauliah. Pendidikan Moral diajar semasa murid beragama Islam belajar Pendidikan Islam, maka ia perlu dikelaskan sebagai modul teras asas. Kanak-kanak pada umur ini perlu diberi waktu khas untuk aktiviti fizikal di luar, maka Aktiviti Luar juga dianggap sebagai modul teras asas.
Modul asas diberi masa yang khas dalam jadual waktu prasekolah. Pada awal tahun modul asas mengambil masa lebih kurang 35% daripada waktu prasekolah, tetapi pada akhir tahun, peratus masa ini mungkin berkurangan jika murid didapati sudah menguasai kemahiran asas 4 M.


MODUL BERTEMA

Pengajaran dan pembelajaran prasekolah sesuai dilaksanakan melalui tema yang membawa makna kepada kanak-kanak. Modul Bertema menyepadukan kesemua tunjang dalam Kurikulum Prasekolah Kebangsaan termasuk juga bahasa, pendidikan moral dan matematik. Pada awal tahun, modul teras tema mengambil masa lebih kurang 35% masa prasekolah tetapi pada akhir tahun, peratus masa perlu dinaikkan.
Guru boleh menentukan tema pembelajaran mengikut keperluan murid, keperluan setempat dan keperluan semasa. Walaubagaimanapun, adalah dicadangkan tema-tema ini dibina berdasarkan kategori berikut : Diri saya, Negara saya, Alam Hidupan, Alam Bahan, Alam Fizikal. Contoh tema yang boleh dibina untuk Diri saya adalah Sekolah saya, Kawan saya, Kelaurga saya. Contoh tema yang boleh dibina untuk Negara saya adalah Perayaan Hari Raya, Kemerdekaan Negara, Lagu dan Muzik Tradisional. Contoh tema yang boleh dibina untuk Alam Hidupan adalah haiwan dan Tumbuhan. Contoh tema yang boleh dibina untuk Alam Bahan adalah Air dan Pakaian. Contoh tema yang boleh dibina untuk Alam Fizikal adalah Cuaca.



AKTIVITI RUTIN


Aktivit rutin adalah penting dalam pendidikan prasekolah. Aktiviti rutin merangkumi aktiviti seperti pengurusan diri, perbualan pagi, refleksi sebelum balik, membaca doa dan makan semasa rehat. Aktiviti rutin mengambil masa lebih kurang 30% daripada masa prasekolah. Kandungan dalam aktiviti rutin merangkumi kesemua tunjang dalam Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan.

4 comments:

  1. SYABAS!!!
    kini baru saya tahu peranan utama pra sekolah ini disekolah2. langkah awal yg bijak sebelum ke darjah 1.
    Tahniah dari saya.
    thumbs up!!

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih di atas sokongan yang diberikan oleh saudara. Memang menjadi tanggungjawab sebagai seorang guru untuk mendidik murid-murid khususnya guru prasekolah yang berperanan penting untuk menberikan pengetahuan dan kemahiran asas kepada murid-murid sebagai persediaan sebelum melangkah ke Tahun Satu.

      Delete
  2. Ya..saya sokong pendapat ckgu asmah. Kita sebagai guru prasekolah memainkan peranan yang pntng bagi memberikan pengetahuan dan kemahiran asas kepada murid. Selain itu, kita juga memainkan peranan dalam membentuk sahsiah dan tingkah laku yang baik kepada mereka.

    ReplyDelete
  3. saya pun setuju dengan ulasan yang diberikan oleh saudari norhazliza. sama2 lah kita memainkan peranan profesionalisme kita dalam membentuk, mendidik, membimbing dan dll supaya anak2 murid kita ,menjadi insan yang berguna kelak.

    ReplyDelete